Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri dari menipu, berkata-kata buruk atau sia-sia dan bertengkar atau bergaduh.
Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran , kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung puasa menanam sikap yang baik dan berbudi. dan kesemua itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya dan tidak hanya pada bulan puasa.
Firman Allah s.w.t.
*يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
" those who believe, the fasts have been enjoined upon you as were enjoined upon those before so that you be God-fearing." [Qur'an 2:183]
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (QS Al-Baqarah : 183)
Hukum Puasa
Berpuasa pada bulan Ramadhan merupakan salah satu dari Rukun Islam maka ianya wajiblah dilakukan oleh semua orang Islam. Puasa lain yang diwajibkan ialah puasa kifarah dan puasa nazar.
Hari-hari berikut disunatkan berpuasa bagi umat Islam :
- Puasa enam hari pada bulan Syawal.
- Puasa Hari Arafah pada 9 Zulhijjah.
- Puasa Hari Asyura pada 10 Muharam.
- Puasa isnin dan khamis.
- Puasa tengah bulan iaitu 13, 14, 15 tiap-tiap bulan.
Syarat Wajib Puasa
- Berakal/waras.
- Baligh (cukup umur).
- Mampu/ tidak uzur.
Syarat Sah Puasa
- Orang Islam.
- Mumayyiz (tahu membezakan yang baik atau buruk).
- Suci dari haid dan nifas.
- Sempurna akal dan fikirannya pada hari itu.
- Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.
Rukun Puasa
- Berniat pada malam harinya.
- Imsak (menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari).
Sunat-Sunat Puasa
- Makan sahur serta melambatkannya.
- Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air.
- Menjamu orang-orang berbuka puasa.
- Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.
Perkara-Perkara yang Membatalkan Puasa
- Makan dan minum dengan sengaja.
- Muntah dengan sengaja.
- Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja.
- Keluar darah haid atau nifas.
- Gila (hilang akal)
- Pitam atau mabuk sepanjang hari.
- Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka.
Orang-Orang yang Dibenarkan Berbuka
- Orang yang sakit.
- Orang yang dalam musafir (perjalanan).
- Orang tua yang lemah.
- Orang yang hamil atau ibu yang menyusukan anak.