Percaya Kepada Malaikat

Malaikat merupakan hamba dan ciptaan Allah yang dijadikan daripada cahaya lagi mulia dan terpelihara daripada maksiat. Mereka tidak berjantina, tidak bersuami atau isteri, tidak beribu atau berbapa dan tidak beranak. Mereka tidak tidur dan tidak makan serta tidak minum. Mereka mampu menjelma kepada rupa yang dikehendaki dengan izin Allah. Malaikat dikatakan mempunyai sayap dan mampu terbang dengan laju (sesuai dengan dengan cahaya yang bergerak laju).

Muslim haruslah beriman kepada malaikat dengan tafsil (تفصيل) dan ijmal (إجمال).

Beriman dengan tafsil

Beriman dengan tafsil adalah beriman akan setiap satu daripada mereka secara berasingan dan bukan mempercayai mereka itu sebagai satu (contoh: satu kumpulan) dan percaya yang tiap satunya adalah malaikat. Berikut adalah sepuluh malaikat yang wajib diketahui secara tafsil.


Malaikat wajib

Di antara para malaikat yang wajib setiap orang Islam ketahui sebagai salah satu Rukun Iman adalah :-

Nama

Arab

Tugas

Malaikat Jibril/Jibrail

جبرائيل/جبريل

Menyampaikan wahyu Allah.

Malaikat Mikail

ميكائيل

Menyampaikan/membawa rezeki yang ditentukan Allah.

Malaikat Israfil

إسرافيل

Meniup sangkakala apabila diperintahkan Allah di hari Akhirat

Malaikat Izrail

عزرائيل

Mencabut nyawa.

Malaikat Mungkar/Munkar

منكر

Menyoal mayat di dalam kubur.

Malaikat Nakir

نكير

Menyoal mayat di dalam kubur.

Malaikat Ridhwan

رضوان

Menjaga pintu syurga dan menyambut ahli syurga.

Malaikat Malik

مالك

Menjaga pintu neraka dan menyambut ahli neraka.

Malaikat Raqib

رقيب

Mencatat segala amalan baik manusia.

Malaikat Atid

عتيد

Mencatat segala perlakuan buruk manusia.

Beriman dengan ajmal

Beriman kepada malaikat secara ajmal ialah percaya akan wujudnya malaikat yang lain selain daripada sepuluh tersebut dan wujudnya beberapa malaikat lain yang tidak diketahui berapa bilangannya melainkan Allah.

Antara malaikat yang wajib diketahui secara ajmal ialah malaikat pemegang atau yang menanggung Arasy iaitu empat malaikat dan pada hari akhirat akan ditambah sebanyak empat lagi yang menjadikannya lapan malaikat pemegang arasy. Juga diketahui akan wujudnya malaikat penjaga manusia atau Hafzah.

Sejarah Malaikat

Malaikat telah lama wujud atau diciptakan sebelum kewujudan Adam sebagai manusia pertama. Malah, malaikat juga yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengambil tanah di bumi untuk dijadikan acuan kepada penciptaan Adam.

Terdapat juga malaikat seperti Harut dan Marut yang telah sesat akibat mempelajari dan mengamalkan sihir.